ADA APA DENGAN SENI?
Apa itu seni? Apa yang kita lihat pada seni? Ada apa dengan seni? Soalan-soalan sedemikian sudah sangat tua usianya. Ahli-ahli falsafah, para pemikir sosial dan budaya, ahli sejarah seni, juga para seniman masing-masing memberikan pandangan mereka tentang seni. Seni adalah itu, seni adalah ini….hujah mereka.
Seni itu mungkin seiring dengan alam. Seni dan budaya itu sangat rapat hubungannya atau seni itu boleh jadi juga aneh sifatnya. Seni itu mungkin kurang ajar dan seniman itu kurang ajar. Seni itu mungkin hasil dari khayalan bodoh yang tidak masuk akal. Seni adalah itu..Seni adalah ini…begitu dan begini…tidak itu dan tidak pula ini…
Seni merupakan wahana bagi setiap ilham seniman. Seni adalah satu perhubungan diantara manusia. Seni adalah salah satu cara berkomunikasi dan interaksi. Setiap karya seni yang dihasilkan mengandungi pesanan, pengertian dan tafsiran yang berbeda. Dan mereka yang melihat karya juga akan meluahkan tafsiran mereka. Sama ada yang melihatnya itu suka atau tidak, karya tersebut telahpun berhubungan dengannya kerana minda manusia akan terus berjalan dan terusik dengan sesuatu yang baru melalui pancaindera kurniaan Tuhan. Selagi ada nafas, para seniman akan terus bergerak dan digerak oleh seni yang telah menjadi nadi kehidupan mereka.
Seperti yang aku bicarakan di perenggan teratas, setiap seniman mempunyai pandangan seni yang berbeda tetapi bersatu dalam memperkatakan bahawa seni itu ekspressi atau luahan rasa dalaman disamping daya cipta yang kuat.
Ada yang lebih gemar melihat seni dari sudut estetika, contohnya lukisan-lukisan bentang darat (landscape) dan alami. Ada yang melihat seni sebagai luahan akal dan perasaan. Ini sangat menonjol pada seni kontemporari, diamana kita diajak seniman berfikir tentang isu-isu kehidupan sosial atau politik didalam sesebuah masyarakat. Seperti karya-karya yang dijadikan senjata propaganda, bantahan, ejekan atau persoalan terhadap suatu system kehidupan dan pemikiran yang ada pada sesebuah masyarakat dan negara. Ada yang tidak begitu condong ke arah seni kontemporari.
"Seni kotemporer hanya menarik untuk akali dan bukan hati." (Remy Sylado, Novelis, Indonesia)
Pengertian seni itu tidak terhad pada satu kerana ia sering mengalami perubahan dan pembaharuan selagi masa dan era berputar. Seperti contoh, pengertian seni pada era Renaissance di kurun ke 16 merupakan suatu yang kolektif, merangkumi lukisan, arca dan senibina. Renaissance berarti kebangunan kembali, satu era di dalam sejarah Barat dimana pemikiran intelek, ilmiah seni, sains dan falsafah berkembang dengan pesat. Pengertian kolektif tentang seni pada waktu itu adalah dari penulis biografi dan seniman Giorgio Vasari. Kemudian pengertian itu berkembang kepada muzik dan puisi, lalu pada kurun ke 18 istilah ‘seni halus’ diperkenalkan. Namun, istilah ini tidak merangkumi seni hiasan dan kraf seperti tembikar dan tenunan.
Zaman berganti zaman maka seni itu berkembang dan mengalami revolusi. Para seniman yang baru lahir dengan gaya seni mereka, mempersoalkan istilah seni yang lama dan memberi nafas baru dalam dunia tersebut. Maka lahirlah pergerakan seni seperti Impressionism, Abstract Expressionism, Pop, Surrealism dan sebagainya.
“Tiada definisi yang satu terhadap seni…” (William Rubin, Direktor Muzium Seni Moden, New York)
“…anda tidak boleh lagi mengatakan bahawa sesuatu itu seni atau bukan…” (Arthur Danto, Profesor Ilmu Falsafah, Pengkritik seni, Universiti Columbia)
Begitulah kisahnya pada seni. Banyak sekali yang boleh diperkatakan, dipersoalkan dan diperdebatkan. Betul atau salah, terpulanglah pada daya fikir setiap individu.
Dari masa ke masa aku akan menulis tentang dunia seni di blog ini. Sebagai penulis seni rupa yang baru, diharapkan agar pembaca boleh mengerti akan apa yang aku sampaikan. Aku menghargai setiap pendapat dan saranan dari pembaca sekelian.
Dari kacamataku, Seni adalah Senimannya dan Seniman adalah Seninya…
CLICK DISINI untuk kembali ke blog SeniPunyaPasal
RUDY DJOHARNAEN,
12:45a.m 29/1/06
Singapura
Labels: Seni Punya Pasal